Kapal Titanic
memulakan pelayaran pertamanya dari Southampton, England, untuk
perjalanan ke Bandar New York, New York, pada Rabu, 10 April 1912, di
bawah kendalian Kaptain Edward J. Smith. Ketika Titanic bergerak
meninggalkan pelabuhan, kuasa sedutan yang dihasilkan oleh kapal
tersebut menyebabkan kapal penumpang New York, yang berlabuh
berhampiran, putus tambatan dan ditarik begitu hampir (sekitar 4 kaki)
dengan Titanic sebelum kapal tunda menunda New York dapat mengelak.
Kejadian tersebut melewatkan Titanic berlepas satu jam dari jadual
sebenar. Selepas menyeberangi Selat Inggeris, Titanic berhenti di
Cherbourg, France, untuk menurunkan dan mengambil penumpang tambahan dan
berhenti sekali lagi di Queenstown (sekarang ini dikenali sebagai
Cobh), Ireland, sebelum meneruskan pelayaran ke New York dengan 2,223
penumpang.
Titanic mempunyai
tiga bahagian kelas penumpang yang diasingkan. Kelas ketiga yang juga
dikenali sebagai steerage, terdiri daripada kabin kecil di dek bawah,
diduduki kebanyakannya oleh pendatang yang mengharapkan kehidupan lebih
baik di Amerika. Kabin dan bilik umum kelas kedua yang terletak di
buritan kapal adalah sama dengan kemudahan kelas pertama di kapal-kapal
yang lain. Kebanyakan penumpang kelas kedua pada asalnya menempah
kelas pertama di kapal yang lain tetapi disebabkan mogok arang batu,
mereka dipindahkan ke Titanic. Kelas pertama merupakan bahagian paling
mewah di atas kapal.

Sebahagian
daripada orang yang terkenal turut belayar sebagai penumpang kelas
pertama. Ini termasuk jutawan John Jacob Astor dan isterinya Madeleine
Force Astor; pemilik kilang Benjamin Guggenheim; pemilik Macy, Isador
Straus dan isterinya Ida; jutawan Denver, Margaret "Molly" Brown; Sir
Cosmo Duff-Gordon dan isterinya, pereka fesyen, Lady Lucille
Duff-Gordon; George Elkins Widener dan isterinya, Eleanor; John Borland
Thayer, isterinya Marian dan anak mereka yang berusia tujuh belas
tahun, Jack; wartawan William Thomas Stead; Countess of Rothes;
pembantu presiden U.S. Archibald Butt; pengarang dan sosialit, Helen
Churchill Candee; pengarang Jacques Futrelle, dan isterinya May, dan
rakan mereka, pengarah Broadway Henry dan Irene Harris; pelakon wanita
filem bisu Dorothy Gibson; dan yang lain. Turut bersama di kelas
pertama adalah pengarah urusan White Star Line J. Bruce Ismay yang
mencadangkan Titanic dan pembina kapal Thomas Andrews, yang turut
bersama bagi memantau sebarang masalah dan menilai prestasi keseluruhan
kapal baru tersebut.
Pada malam Ahad, 14 April, suhu menurun
sehingga tahap hampir beku dan laut tenang. Bulan tidak muncul manakala
langit pula cerah. Kapten Smith bertindak kepada amaran ketulan
aisberg melalui wireles semenjak beberapa hari dengan mengubah haluan
Titanic ke arah lebih selatan. Pada Ahad tersebut iaitu pada 1:45 PM,
pesanan dari kapal wap Amerika telah memberi amaran bahawa air batu
besar terapung dalam laluan Titanic, tetapi amaran ini tidak dihantar
ke dek kawalan. Lewat petang itu, satu lagi laporan mengenai ketulan
air batu besar yang banyak, kali ini daripada Mesaba, turut gagal
disampaikan ke dek kawalan.
Pada pukul 11:40 PM ketika berlayar
di selatan Grand Banks di Newfoundland, pemantau Fredrick Fleet dan
Reginald Lee melihat ketulan air batu yang besar tepat di hadapan
kapal. Fleet membunyikan loceng kapal sebanyak tiga kali dan menelefon
dek kawalan lalu memberitahu, "Aisberg, betul-betul di hadapan!"
Pegawai Pertama Murdoch mengarahkan pusingan mengejut ke port (kiri)
dan kelajuan tinggi ke belakang, yang menghentikan dan kemudiannya
mengundurkan enjin kapal. Perlanggaran ternyata tidak dapat dielakkan,
dan aisberg tersebut bergesel dengan bahagian kanan sisi kapal,
merenggangkan badan kapal di beberapa bahagian dan melantunkan kimpalan
rivet di bawah paras air sepanjang sekitar 91 m (300 kaki). Pintu
kedap air ditutup apabila air mula memasuki lima bahagian kedap air
pertama, lebih satu daripada apa yang dapat ditanggung Titanic. Berat
lima bahagian kedap air yang dimasuki air menarik kapal ke bawah
melebihi ketinggian dinding kedap air lalu membenarkan air untuk
memasuki bahagian lain. Kapten Smith, merasai gegaran hentaman itu lalu
menuju ke dek pengurusan dan memerintahkan berhenti sepenuhnya.
Selepas pemeriksaan oleh pegawai kapten dan Thomas Andrews, jelas
disedari bahawa Titanic akan tenggelam, dan sejurus selepas tengah
malam pada 15 April, perahu penyelamat diperintahkan untuk disediakan
dan panggilan keselamatan mula dihantar.
Bot penyelamat pertama
dilancarkan, bot 7, diturunkan pada pukul 12:40 AM di bahagian kanan
kapal dengan hanya 28 orang di atasnya. Titanic membawa 20 perahu
penyelamat dengan keupayaan penuh 1,178 orang. Walaupun tidak mencukupi
untuk membawa kesemua penumpang dan anak kapal, Titanic membawa lebih
banyak bot berbanding yang disyaratkan oleh Lembaga Peraturan British
(British Board of Regulations). Pada masa itu, jumlah bot penyelamat
yang diperlukan ditetapkan menurut tan kasar kapal, bukannya jumlah
orang yang dibawanya.
Penumpang kelas pertama dan kedua lebih
mudah menuju ke bot penyelamat dengan tangga yang menuju terus ke dek
bot, tetapi penumpang kelas ketiga lebih sukar. Ramai mendapati laluan
dari bahagian bawah kapal sukar difahami dan menyukarkan mereka untuk
sampai ke bot penyelamat. Lebih buruk lagi bagi penumpang kelas ketiga
apabila pintu dikunci oleh anak kapal yang menunggu arahan bagi
membenarkan penumpang naik ke geladak.
Titanic melaporkan kedudukannya pada 41° 46′ N, 50° 14′ W. Bangkai kapal dijumpai di 41° 43′ N, 49° 56′ W.
Operator
radio tanpa wayar Jack Phillips dan Harold Bride sibuk menghantar kod
CQD, isyarat kecemasan sejagat. Beberapa kapal menyahut, termasuk Mount
Temple, Frankfurt dan kapal saudara Titanic, Olympic, tetapi
kesemuanya terlalu jauh untuk sampai sebelum Titanic tenggelam. Kapal
terdekat adalah RMS Carpathia kepunyaan Cunard Line yang sejauh 93
kilometer (58 batu) dan hanya sampai selepas empat jam; terlalu lewat
untuk sampai ke Titanic. Satu-satunya daratan yang menerima isyarat
kecemasan Titanic merupakan stesyen wireles di Cape Race, Newfoundland.
Pada
mulanya, penumpang enggan meninggalkan Titanic untuk menaiki kapal
penyelamat yang kecil kerana merasakan Titanic lebih selamat dan selesa
serta tiada sebarang tanda yang menunjukkan mereka sedang berada dalam
keadaan bahaya. Malahan, terdapat khabar di antara mereka bahawa mereka
dikehendaki turun ke dalam bot penyelamat hanya sebagai syarat untuk
mematuhi undang-undang yang ada dan mereka difahamkan lagi bahawa mereka
akan kembali ke kapal untuk sarapan pagi kerana mereka percaya kapal
tersebut tidak akan tenggelam. Ini menyebabkan kebanyakan bot
dilancarkan separuh kosong dan terdapat satu bot yang mampu membawa 40
orang berlepas dengan hanya 12 orang di atasnya.
Dengan arahan
"wanita dan kanak-kanak dahulu" diberi keutamaan untuk menaiki bot
penyelamat, Pegawai Kedua Lightoller, yang mengisi bot penyelamat di
sebelah kiri, hanya membenarkan lelaki yang diperlukan sebagai pengayuh
dan tidak untuk sebab lain walaupun masih terdapat tempat kosong.
Pegawai Pertama Murdoch, yang mengisi bot di sebelah kanan kapal,
membenarkan lelaki naik sekiranya wanita tidak mencukupi. Apabila kapal
semakin condong, penumpang mulai cemas dan sesetengah bot berlepas
penuh. Pada 2:05 AM, seluruh bahagian haluan kapal tenggelam di bawah
air dan ketika itu, selain dua buah bot, semua bot penyelamat yang lain
telah dilancarkan.
Sekitar 2:10 AM, bahagian belakang kapal
terangkat dari paras air menampakkan bilah kipas, dan pada pukul 2:17
aras air mencecah geladak bot. Keadaan semakin hangat apabila dua bot
penyelamat terakhir terapung dari geladak, satu terbalik dan satu lagi
separuh berisi air. Tidak lama kemudian, serombong paling hadapan
jatuh, meremukkan sebahagian dek pengurusan dan mereka yang terapung di
permukaan air. Di geladak, para penumpang berlari ke arah buritan atau
melompat ke laut dangan harapan dapat sampai ke bot penyelamat.
Bahagian buritan kapal perlahan-lahan terjungkit ke langit, dan
barang-barang yang tidak terikat jatuh ke dalam laut. Semasa bahagian
belakang kapal terjungkit, sistem eletrik gagal dan semua lampu
terpadam. Tidak lama kemudian, tekanan pada badan kapal mengakibatkan
Titanic pecah dua antara dua serombong terakhir, dan bahagian hadapan
tenggelam sepenuhnya. Bahagian belakang terapung di permukaan air
seketika dan terjungkit menegak. Selepas beberapa ketika, pada pukul
2:20 AM, kesemuanya tenggelam ke dalam laut.

Daripada sejumlah
2,223 orang, hanya 706 terselamat; 1,517 mati. Kebanyakan kematian
disebabkan mangsa terkena hipotermia dalam air bersuhu 28 °F (−2 °C).
Hanya dua daripada 18 bot penyelamat yang dilancarkan kembali untuk
menyelamatkan mangsa dari dalam air selepas kapal tenggelam. Bot
penyelamat 4 kembali dan menyelamatkan lima orang, dua daripada mereka
mati kemudiannya. Hampir sejam kemudian, bot penyelamat 14 kembali dan
menyelamatkan empat orang yang mana satu mati kemudiannya. Ada yang
lain berjaya menaiki bot penyelamat yang terapung daripada geladak.
Terdapat pertikaian dalam bot penyelamat lain sama ada hendak kembali,
tetapi kebanyakan yang terselamat takutkan bot penyelamat mereka akan
tenggelam akibat dikerumuni mangsa yang cuba menaiki bot mereka atau
"ditarik" oleh Titanic yang tenggelam, walaupun sebenarnya hanya
sedikit tarikan berlaku.
Mangsa dalam bot penyelamat.
Ketika
kapal tersebut tenggelam ke dalam laut, kedua bahagian tersebut
menjunam dalam cara berlainan. Bahagian haluan yang runcing mendatar
kira-kira 609 m (2,000 kaki) di bawah permukaan dan mendarat dengan agak
perlahan. Bahagian buritan bagaimanapun tenggelam dengan laju ke dasar
lautan; badan kapal terburai akibat penguncupan udara yang
terperangkap dalam kapal. Bahagian buritan kapal menghentam dasar pada
kelajuan tinggi, terbenam jauh ke dalam lumpur.
Komentar
Posting Komentar